Kompilasi tentang islam

Wednesday, July 12, 2017

KEPENTINGAN WUDUK

Oleh: Ustaz Dahim al-Sumatri

Maksud Sabda Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam, perkara pertama yang akan dikira dari seorang hamba pada hari qiamat ialah solat, dilihat dengan sungguh-sungguh. Jika baik urusan solatnya, maka ia berjaya, dan jika rosak solatnya maka ia pasti sia-sia dan rugi. (H.R Al-Thabraniy)

Jika solat seseorang diterima oleh Allah, maka beruntunglah ia kerana masuk ke dalam syurga Allah. Tetapi bagaimana pula jika solatnya ditolak, tentulah sia-sia hidupnya selama di dunia dan rugilah ia kerana dimasukkan ke dalam neraka. Wal 'iyazu billahi min zalik!

Jika diberi peluang untuk bertanya kepada Allah, kenapa solatnya ditolak tidak diterima. Lalu diberitahu, solatnya ditolak kerana ia gagal dalam urusan wuduknya iaitu ia tidak mengambil air sembahyang sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah. Mari kita teliti arahan Allah dalam surah al-Maidah ayat 6;

1. Allah perintah membasuh muka (meratakan air keseluruh muka dengan menggunakan tangannya), tapi ia hanya menjirus atau menyiram sahaja mukanya tanpa meratakan air dengan tangannya. Maka ia gagal dalam urusan membasuh muka.

2. Allah perintah membasuh tangan (meratakan air keseluruh tangan hingga meliputi siku dengan menggunakan tangannya), tapi ia hanya menjirus atau menyiram sahaja tangannya tanpa meratakan air dengan tangannya yang satu lagi sehingga air tidak sampai di kulit yang terletak di bawah kuku jejarinya dan sikunya juga tidak dibasuh dengan sempurna. Maka ia gagal dalam urusan membasuh muka.

3. Allah perintah menyapu kepalanya, dan ia menyapu kepalanya. Ia lulus dalam urusan menyapu kepalanya.

4.Allah perintah membasuh kaki (meratakan air ke seluruh kakinya meliputi buku lali dengan menggunakan tangannya), tapi ia hanya menjirus atau menyiram sahaja kakinya tanpa meratakan air dengan tangannya sehingga tapak kaki tidak dibasuh dan air tidak benar-benar merata dicelah jari-jari kakinya termasuk kulit bawah kuku kakinya. Bahkan kecuaiannya menyebabkan tumitnya tidak basah, sebab tidak dibasuh dengan sempurna. Maka ia gagal dalam urusan membasuh kaki.

Maksud sabda Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam; "Baikilah urusan wuduk kamu, Kecelakaan api neraka akan ditimpakan pada tumit-tumit yang tidak basah (tidak basuh ketika mengambil wuduk)."

Kalau kaki sudah cukup hanya dengan dijirus atau disiram sahaja semasa berwuduk, maka tentu Nabi kita tidak mengancam umatnya dengan wail (kecelakaan api neraka).

Oleh itu, marilah kita renungi kata Sayyidina Ali R.A ketika ditanya oleh sahabatnya kenapa mukanya merah semasa beliau mengambil wuduk, lalu ia menjawab; "Aku takut jika solat yang aku dirikan ditolak oleh Allah kerana Allah tidak menerima wudukku ini".

Pengajarannya;

1. Marilah kita sempurnakan setiap rukun wuduk dan sunat-sunat wuduk dengan cermat dan bersungguh-sungguh agar Allah terima wuduk kita dan Allah terima solat kita.
2. Marilah kita betulkan cara anak-anak kita mengambil wuduk. Usahlah menyerahkan perkara ini kepada ustaz dan guru agama di sekolah atau masjid. tetapi kita sebagai ayah dan ibu hendaklah melaksanakan amanah Allah tersebut dengan sebaik mungkin iaitu memastikan
anak-anak kita mengambil wuduk dangan cara yang betul.

Wallahu a'lam.

=============

SUMBER : tazkirah-dahim.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.