Kompilasi tentang islam

Sunday, March 5, 2017

HAL GHAIB HANYA DIKETAHUI BERDASARKAN WAHYU


Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari di dalam Sahihnya, ketika orang Yahudi datang kepada Nabi SAW dan bertanya tentang roh,

Nabi SAW terdiam dan tidak memberikan jawapan. Ini kerana ia adalah hal ghaib, yang hanya diketahui oleh ALLAH.

Baginda diam sehinggalah turun wahyu daripada Allah, “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.” (Surah Al-Isra’: 85)

Syaikh Al-Albani rahimahullah ketika menjelaskan tentang hadis yang menyatakan kehidupan para Nabi di kubur berkata,

“Ketahuilah bahawa kehidupan yang ditetapkan oleh hadis bagi para Nabi adalah kehidupan alam Barzakh, bukan kehidupan dunia sedikit pun.

Kerana itu, wajib mengimaninya tanpa memberi perumpamaan, atau berusaha menjelaskan bagaimana kaifiatnya dan menyamakannya dengan sesuatu yang diketahui dalam kehidupan dunia.

Inilah sikap orang mukmin iaitu beriman kepada apa yang datang dari hadis tanpa memberi tambahan berupa qias dan pelbagai pemikiran sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian ahli bid’ah yang mendakwa kehidupan Nabi SAW di dalam kubur adalah kehidupan hakiki (seperti alam dunia). 

Telah sabit bahawa Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya hari kamu yang paling utama adalah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari itu. Sesungguhnya selawat kamu disampaikan kepadaku.” Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami disampaikan kepadamu padahal engkau telah hancur menjadi tanah?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya Allah mengharamkan atas bumi menghancurkan jasad-jasad para Nabi.” (Sahih, Abu Daud)

Dari hadis ini, dapat kita lihat bagaimana kefahaman para Sahabat bahawa orang yang mati tidak akan mendengar ucapan orang yang masih hidup.

Rasulullah SAW tidak mendengar ucapan salam yang diucapkan kepada Baginda, tetapi sebagaimana sabda Nabi di dalam hadis lain yang juga sahih, “Sesungguhnya Allah memiliki para malaikat yang berkeliling di bumi untuk menyampaikan kepadaku salam dari umatku”
(Sahih, riwayat Ahmad)

Sekiranya orang mati dapat mendengar perbicaraan di alam dunia, sudah tentu Rasulullah yang paling layak untuk mendengar.

Dan sekiranya Rasulullah mendengar perbicaraan di alam dunia, sudah tentu Baginda mendengar secara langsung selawat dan salam yang diucapkan kepada Baginda.

Namun sebaliknya, Baginda menjelaskan bahawa selawat dan salam “disampaikan” kepada Baginda melalui para Malaikat yang berkeliling di bumi.

Jelas bahawa Baginda tidak mengetahui secara langsung apa yang berlaku di alam dunia selepas Baginda wafat.

Wallahu A'lam

📁 Tazkirah Baitul Muslim

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.